Friday, July 1, 2011

GAMBAR PEMIMPIM PKM DIRAMPAS DARI SEKRETARIAT BERSIH


Polis rampas gambar pemimpin PKM di sekretariat BERSIH

PETALING JAYA: Polis menemui bukti baru mengaitkan perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) dipengaruhi unsur komunis berikutan penemuan 10 gambar bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) ketika serbuan di sebuah banglo yang dijadikan sekretariat BERSIH, di Seksyen 4, di sini kelmarin.

Semua gambar bekas pemimpin PKM seperti Abdullah CD dan Shamsiah Fakeh itu ditemui bersama barang lain, termasuk 549 baju-T BERSIH pelbagai warna, 473 lilitan kepala, banting serta 5,154 risalah, dipercayai untuk diedarkan kepada orang ramai.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata polis sedang menjalankan siasatan mengenai tujuan gambar itu disimpan dan tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan 31 individu yang ditahan di Pulau Pinang bersama bahan mengandungi unsur komunis, minggu lalu.

Berikutan itu, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk memanggil pemilik banglo serta sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan hak asasi manusia, tetapi menyewa premis berkenaan semata-mata untuk menggerakkan kegiatan BERSIH.

“Semua rampasan didapati ada hubung kait dengan kempen mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai ini yang menjurus kepada usaha meracuni fikiran orang ramai menyertainya,” katanya semalam.

Dalam serbuan diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Rosli Md Isa pada jam 12.05 tengah hari kelmarin, tujuh pekerja, termasuk lima wanita ditahan mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis/109 Kanun Keseksaan. Mereka dibebaskan jam 11 malam kelmarin dengan jaminan selepas keterangan dirakamkan.
Arjunaidi berkata, pekerja berusia 23 hingga 40 tahun itu tidak direman seperti yang ditahan di Pulau Pinang kerana polis berpuas hati selepas merakamkan keterangan masing-masing.

“Selain itu, kita sedang mengenal pasti dari mana mereka menempah atau mencetak semua bahan yang dirampas, selain menyiasat sumber dana menggerakkan aktiviti itu,” katanya.

Sabtu lalu, 31 ahli dan penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S Jayakumar Devaraj ditahan selepas menemui bahan mengandungi unsur komunis dan penentangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, dalam bas yang mereka naiki, di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang.

Antara yang ditemui ialah 28 helai pakaian warna hitam dan merah tertera nama dan gambar bekas pemimpin PKM, iaitu Chin Peng, Abdullah CD, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah serta gambar tokoh komunis Argentina, Ernesto ‘Che’ Guevara atau dikenali sebagai El Che.
Komen Anda
Nama :
Emel :
Komen :
 
Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

No comments:

Post a Comment