Tuesday, July 5, 2011

KITA BERSIH STADIUM - Ambiga

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) akhirnya mengubah pendirian dengan bersetuju mengadakan perhimpunan Sabtu ini di sebuah stadium, bukannya di jalanan, selepas menghadap Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, hampir sejam di Istana Negara, petang tadi.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis menghadap itu, Pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenavasan, berkata lokasi stadium yang bakal digunakan itu belum ditetapkan tetapi tarikh perhimpunan tidak berubah.
“Pertemuan kami dengan Baginda selama hampir sejam itu berjalan dengan baik selain turut memberi peluang kepada kami untuk menjelaskan tujuan sebenar perhimpunan itu diadakan.
“Kita setuju untuk mengadakan perhimpunan BERSIH ini di stadium 9 Julai ini.... tiada lagi perhimpunan jalanan seperti yang dirancang sebelum ini. Bagaimanapun lokasi stadium belum ditetapkan.

“Malah, kita juga sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dan kerajaan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.

Ambiga yang berpakaian serba biru dilihat memasuki perkarangan Istana Negara pada jam 1.55 tengah hari tadi dengan menaiki Toyota Camry.

Turut mengiringi beliau ialah Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.
Ambiga berkata, pihaknya akan mengadakan sidang media khas dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan mengenai perubahan lokasi perhimpunan itu.

Kelmarin, Tuanku Mizan bertitah rakyat tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan negara luar kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu dipertahankan semua pihak.

"Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikannya secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu, 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'," titah baginda.

No comments:

Post a Comment