MASYARAKAT Melayu tradisional sering beralas ketika berhujah dan memberi pendapat. Mereka tidak bertekak, apatah lagi menyanggah sesuatu pandangan dengan rusuhan dan menumpahkan darah. Suasana kekitaan menjadi tonggak muafakat hingga menerbitkan peribahasa 'bersatu teguh bercerai roboh'. Jarang Melayu mengamuk kecuali kes 'Sultan Mahmud mangkat dijulang' membabitkan amukan seorang rakyat yang isterinya dibunuh Raja dengan alasan remeh.
Melayu juga pernah demonstrasi dalam dua kes bersejarah – penentangan dasar Malayan Union dan isu agama membabitkan peristiwa Natrah di Singapura. Dua kes ini membabitkan survival bangsa dan agama ekoran dasar penjajah yang tidak memihak kepada warga tempatan.
Demonstrasi pelajar menjadi medan meluahkan pandangan yang di luar pemikiran arus perdana. Mereka berani berhujah, walaupun ada ketika dituduh diresapi ideologi komunis.
Di kalangan ahli UMNO pula, mereka pernah menyaksikan tunjuk perasaan penyokong bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris yang membantah hukuman penjara bersabit kes rasuah. Ribuan Pemuda UMNO yang ketika itu dikenali Pemuda Tahan Lasak berkumpul di beberapa daerah.
Mereka menentang Perdana Menteri ketiga, Tun Hussien Onn yang dianggap mempunyai agenda terhadap Harun. Mujur, tunjuk perasaan tidak sampai menjejaskan keselamatan negara.
Keadaan sebaliknya berlaku menjelang 2 September 1998 apabila ribuan anak muda tunjuk perasaan dan secara terbuka bersuara lantang di jalanan. Mereka menggunakan ruang demokrasi untuk demonstrasi. Isu reformasi, korupsi, kronisme berbaur dengan pertuduhan di mahkamah.
Gerakan jalanan menjadi tumpuan pihak tertentu di Barat, khususnya Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore yang menyifatkan ‘perjuangan rakyat berani’. Ketika ekonomi negara merudum ekoran mainan spekulator mata wang, gerakan anak muda mudah dikaitkan sebagai tali barut asing. Suara dan aksi mereka mendapat liputan meluas media antarabangsa yang berpangkalan di Australia, Hong Kong dan Singapura. Banyak drama dan intrig dihidupkan. Ada masanya, media bagai mahkamah yang mudah menghukum pihak yang tidak disenanginya.
Demokrasi dan hak asasi menjadi mantera di media maya. Banyak yang dikatakan sebagai penyelewengan dan isu kemanusiaan bertebaran di laman web, portal berita dan blog. Ruang untuk menegakkan keadilan seperti yang diperjuangkan, semakin perlekeh oleh suara yang kononnya pejuang sejati. Betapa mudah perasaan awam dipermainkan hingga menyingkirkan fakta dan keadaan sebenar.
Selepas berakhir Perang Dingin dan runtuhnya Tembok Berlin, gerakan hak asasi antarabangsa semakin akrab melihat dan menyemak isu demokrasi di dunia ketiga. Isu keadilan, kemanusiaan, tata urus pilihan raya menjadi semakan yang mengghairahkan. Rejim Suharto bukan saja tumbang kerana amalan kronisme dan ekonomi bobrok, juga isu kebebasan pilihan raya dan hak asasi di Timor Timur (Timur Leste), Aceh dan kepulauan Sumatera.
Keadaan sama berlaku di Thailand dengan pelbagai jenama baju yang ditaja. Baju merah, kuning dan entah apa lagi, sering bergelut di jalanan yang akhirnya memberi kesan kepada ekonomi rakyat dan kestabilan keselamatan negara. Kesan langsungnya adalah kepada proses pembudayaan minda masyarakat; apakah tunjuk perasaan penyelesaian terbaik dalam menangani sesuatu isu? Alangkah mudahnya membakar perasaan orang ramai di jalanan, tetapi tidak semudah itu untuk menanganinya.
Masyarakat Melayu tradisional mengutamakan muafakat dan perbincangan sebagai jalan penyelesaian. Tradisi Islam pula menerima muzakarah dan ijtihad sebagai ruang menyemak dan menyelesaikan sesuatu isu. Apakah unsur yang sudah lama diamalkan dalam masyarakat kita sudah lama berkubur? Apakah kepentingan siasah menjadi bahang api yang bakal membara dan kita semakin tidak rasional?
No comments:
Post a Comment