Thursday, March 31, 2011

Tolak 'hantu jembalang' pilihan raya





PENYANDANG DUN Pantai Damai, Abdul Rahman Junaidi (tengah) menyatakan sesuatu kepada Muhyiddin Yassin ketika Timbalan Perdana Menteri melawat Kampung Gersik di Kuching, Sarawak, semalam.


KUCHING 30 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengingatkan rakyat di negeri ini bahawa 'hantu dan jembalang' yang wujud pada pilihan raya negeri April ini hanya berjuang untuk puak serta suku-sakat mereka tanpa menghiraukan nasib rakyat secara keseluruhannya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana 'hantu dan jembalang' itu datang dengan 'mulut manis' membuat tawaran-tawaran yang disifatkannya sebagai pembohongan serta palsu semata-mata.
''Inilah waktu untuk rakyat Sarawak menolak hantu dan jembalang yang sebahagiannya datang dari Semenanjung dan sebahagian pula berada di negeri ini sejak sekian lama.
''Jadi ini adalah detik penentuan yang sangat penting bagi rakyat, satu penentuan masa depan yang lebih terjamin dengan memastikan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan padu rakyat lebih besar berbanding pilihan raya negeri sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan mesra rakyat di Kampung Gersik-Boyan-Sourabaya sambil diiringi Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang di sini hari ini.
Dalam tinjauan tersebut, Timbalan Perdana Menteri yang menaiki perahu tambang untuk menyeberangi Sungai Sarawak telah meluangkan masa mengecat Surau Hidayatul Rahman sebelum berkesempatan melawat usahawan kek lapis, Dayang Salhah.
Muhyiddin turut mengadakan lawatan ke rumah milik pesara kerajaan yang juga orang kurang upaya (OKU), Awang Ahmad Awang Bakri sebelum melawat ke rumah seorang warga emas yang juga ibu tunggal, Dayang Jamilah Abang Lias.
Selesai lawatan tersebut, beliau bersama rombongan turut melawat gerai-gerai di kawasan Permaidani Boyan-Gersik-Sourabaya (GBS) sambil menikmati minum petang bersama penduduk setempat sebelum memberi sedikit amanat kepada yang hadir.
Muhyiddin memberitahu, rakyat harus bersyukur kerana negara ini dan Sarawak khususnya adalah negeri yang aman, stabil serta maju, maka tiba masanya mereka menentukan masa depan dengan memilih kerajaan BN.
''Tentulah pertimbangan utama perlu diambil kira bagi memilih parti yang boleh kita percaya sekali gus menjamin politik kekal stabil, pertumbuhan ekonomi mantap, pengagihan kekayaan secara adil dan saksama, generasi muda yang berdaya saing dan cemerlang.
''Kita tidak mahu negeri ini terpinggir daripada usaha-usaha transformasi dan arus perdana kerajaan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment