Friday, July 1, 2011

POLIS SARAWAK PERTINGKAT PEMANTAUAN "BERSIH"

Mohmad Salleh mempengerusikan sidang media di Mes Pegawai Kanan IPK di Kuching semalam. Turut kelihatan Huzir (kanan), Law (dua kiri) dan Aladdin (kiri).

KUCHING: Pihak polis akan mempertingkatkan aktiviti pemantauan di seluruh negeri bagi membendung perhimpunan haram, BERSIH yang dijangka akan diadakan pada 9 Julai ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh berkata, sebarang perjumpaan dan aktiviti berkaitan perhimpunan itu adalah dilarang sama sekali.
Berikutan itu, mana-mana pihak atau individu yang didapati mengagihkan risalah dan baju-T termasuk bahanbahan promosi perhimpunan itu akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.
Di bawah akta itu, mereka yang disabitkan akan dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi daripada RM10,000.
“Setakat ini pihak kita telah menerima 19 laporan berhubung perhimpunan BERSIH dan dua daripadanya telah dijalankan siasatan di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.
“Dalam tempoh sembilan hari menjelang perhimpunan itu, pihak polis akan meningkatkan pemantauan di seluruh negeri pada setiap hari bagi membendung perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat bersama anggotanya di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Law Hong Soon, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, SAC II, Huzir Mohamed serta Ketua Cawangan Khas Sarawak, Datuk Aladdin Kassim.
Mengulas mengenai keadaan di negeri ini, Salleh memberitahu Sarawak masih terkawal meskipun ada laporan telah dibuat berhubung perhimpunan BERSIH.
Pada masa yang sama menurutnya, pihak polis turut membuat kawalan ke atas ke semua bahan-bahan yang berkaitan dengan perhimpunan itu daripada diseludup masuk ke negeri untuk diedarkan di negeri ini.
“Tindakan sama seperti di Semenanjung Malaysia akan diambil jika didapati ada pihak yang cuba menggunakan bahan-bahan untuk promosi perhimpunan BERSIH,” tegasnya lagi

No comments:

Post a Comment