Tuesday, June 28, 2011

BERSIH - AMBIGA DEGIL

Pengacau tetap teruskan perhimpunan tanpa permit

KUALA LUMPUR: Penganjur perhimpunan haram yang dirancang diadakan di ibu negara pada 9 Julai ini berdegil untuk meneruskan perhimpunan walaupun Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Pemuda UMNO bersedia membatalkan perhimpunan masing-masing jika kumpulan pengacau terbabit bersetuju tidak meneruskan hasrat itu.
Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang mengetuai kumpulan pengacau menganjurkan perhimpunan itu, berkata pihaknya akan meneruskan perhimpunan dan tidak akan memohon mendapatkan permit polis.
“(Perhimpunan) 9 Julai ini tetap jalan (diteruskan). Kita tidak akan memohon permit sebab polis sudah cakap tidak akan mengeluarkan (permit),” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini semalam.

Ambiga dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, hadir memberi keterangan hampir dua jam berhubung ucapan mereka ketika pelancaran perhimpunan haram itu di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur/Selangor di sini, pada 19 Jun lalu.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis kerana cuba mengadakan perhimpunan haram dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Ditanya sumber kewangan untuk mengadakan perhimpunan haram itu, Ambiga berkata, ia diperoleh melalui penjualan baju T serta sumbangan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Terdahulu, Ibrahim ketika ditemui media selepas memberi keterangan, berkata PERKASA sedia membatalkan perhimpunan jika kumpulan pengacau berkenaan bersetuju menarik balik rancangan mereka.

Katanya, perhimpunan yang dirancang oleh PERKASA bertujuan membuktikan kepada orang ramai bahawa tindakan kumpulan pengacau itu tidak dipersetujui sebahagian besar rakyat Malaysia.

“Kalau mereka teruskan juga perhimpunan haram itu tanpa permit, saya juga tidak menghalang ahli PERKASA dan NGO lain yang mahu berhimpun bagi tujuan menghalang perhimpunan haram oleh kumpulan berkenaan,” katanya yang memberi keterangan berkaitan ucapannya pada pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, juga pada 19 Jun lalu.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Mokhtar yang hadir untuk memohon permit perhimpunan yang dinamakan Himpunan Patriot, berkata pergerakan itu tetap meneruskan perhimpunan walaupun tanpa permit jika kumpulan pengacau itu meneruskan rancangan mereka.

Sementara itu, A Samad berkata, beliau akan menyertai perhimpunan haram itu kerana berpendapat ia perlu disokong dan bukan dibantah, selain yakin perhimpunan berkenaan akan berlangsung secara aman. 
AMBIGA dan A Samad Said keluar dari IPD Dang Wangi selepas memberi keterangan berhubung perhimpunan yang akan diadakan pada 9 Julai ini.  

No comments:

Post a Comment